Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani…
Tersentak seketika apabila mendapat panggilan daripada ibu yang sangat disayangi. Pada mulanya kami berborak kosong dan saya meminta izin untuk keluar mencari barang-barang keperluan untuk iftar nanti. Dan soalan yang saya langsung tidak menjangkakan terpacul keluar daripada mulut seorang ibu itu.
“fathin dah berpurdah ke sekarang?” tanya ibuku.
Soalan itu benar-benar membuatkan saya rasa sangat berdebar. Saya diam seketika. Dan sekali lagi ibuku mengulangi soalan itu. Dan saya hanya mampu menjawab “ Ya ma”.
Sebenarnya saya belum bersedia untuk memberitahu keluarga tentang hal ini. Hal yang saya rasakan cukup berat untuk saya pikul dan saya amat mengharapkan sokongan orang sekeliling saya. Saya bercadang untuk bertanyakan pendapat kepada ibu saya tentang gadis berniqab. Namun, dia lebih cepat daripada saya untuk bertanyakan soalan itu.
“kenapa tak pakai masa kita jumpa kat perlis haritu?” soal ibuku lagi.
“masa tu Fathin tak start pakai lagi.”
“kenapa terlalu drastic?” soal ibuku lagi.
Ya Allah…apa yang perlu saya jawab? Lidahku kelu untuk menjawab soalan itu. Saya lancar untuk menjawab soalan itu setiap kali rakan-rakan saya bertanyakan saya tentang hal itu. Namun kali ini, lidahku kelu untuk berkata-kata.
“Ma tak bagi fathin berniqab ke?” saya menduga.
“Ma tak nak Fathin jadikan niqab itu sebagai fesyen. Sekejap pakai itu, sekejap pakai ini.”
Saya hanya mampu untuk berdiam. Entah mengapa rasa pedih di hati. Air yang ditampung oleh mata hampir jatuh ke bumi namun saya gagahkan juga.
“bertudunglabuh itu sudah cukup untuk seorang perempuan menjaga auratnya. Ma lebih suka Fathin pakai tudung labuh.” Sambung ibuku lagi.
Saya tidak mampu berkata apa-apa melainkan mengiyakan permintaan ibuku. Saya sedar hukum berniqab itu sendiri ialah sunat. Tidak berdosa jika saya tidak memakainya namun ganjaran pahala itu sudah tentu jika saya memakainya. Namun mengingkari perintah ibu bapa itu merupakan dosa besar.
Pada mulanya saya agak kecewa apabila satu-satunya orang yang sangat rapat dengan saya tidak bersetuju dengan perubahan saya. Namun jika difikirkan kembali, mungkin ada hikmahnya. Ma telah mengandungkan saya, membesarkan saya sehingga sekarang. Dia sudah masak benar dengan perangai anak tunggal perempuannya ini. Mungkin betul cakap ma. Bertudung labuh itu sudah cukup untuk menutup aurat. Saya akur dengan permintaan ibu tercinta.
Bismillahirrahmanirrahim…
29 Julai 2012
“hari ini hari last saya berniqab. Dan saya akan memanfaatkannya sebaik yang mungkin.”bisik hatiku.
Mungkin 29 Julai merupakan hari terakhir saya berniqab. Saya tidak mahu membuat hati ibu saya risau. Mungkin dia tidak boleh terima perubahan ini kerana terlalu drastic. Baru sebulan lebih saya memakai tudung labuh dan tiba-tiba dia mendapat berita bahawa saya berniqab. Saya tidak menyalahkan ibu saya. Ya, memang terlalu drastic.
Ma… jawapan untuk soalan ma itu, fatin sayang Allah..fatin sayang abah and ma. Fatin bertudung labuh disebabkan oleh fatin tak nak abah masuk neraka. Sebab fatin pernah terbaca satu kata-kata:
“Selangkah anak keluar tanpa menutup aurat, selangkah ayahnya ke neraka jahannam.”
Dan jawapan kepada soalan ma kenapa fatin berniqab, alam remaja sangat mencabar dan fatin senang untuk terpengaruh. Dengan berniqab, fatin rasa lebih muhasabah diri, lebih berjaga-jaga dalam setiap tindakan. Itu sebabnya penampilan fatin lain daripada dulu.
Ma….fatin sayang ma dan abah. Semoga ma dan abah boleh terima perubahan drastic fatin ini… :’)
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~syifa an-nur~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
No comments:
Post a Comment