Susahnya diri ini untuk berhijrah ke jalanNya. Terasa kerdilnya diri ini untuk menghadap Ilahi. Apa yang perlu dijawab pada malaikat jika nyawa ini diambil disaat kita masih dalam kelalaian? Adakah cukup solat kita 5 waktu setiap hari? Adakah kita telah membalas jasa ibu bapa kita? Adakah kitab yang mulia itu (al-Quran) merupakan kitab kegemaran kita? Adakah cukup amalan dan ilmu kita untuk dibawa ke sana? The answer is: NO!
Tiba-tiba hati terasa tersentuh apabila terbaca satu blog. “tips menutup aurat” yang ditulis oleh Farah Lee ( wife Ally Iskandar) dalam blognya http://farahinlee.blogspot.com/2011/06/tip-menutup-aurat.html. Tajuk itu sudah cukup membuatkan saya rasa tertarik untuk membacanya. It’s true saya bertudung. Tetapi bertudung bukanlah bermakna saya telah menutup aurat saya dengan sempurna. Saya mengaku sehingga saat ini, selama 20 tahun saya hidup di dunia ini, saya masih tidak berjaya untuk menutup keseluruhan aurat saya. Nafsu mengekang segala perintah Allah yang perlu saya patuhi.
Pernah satu ketika dahulu saya benar-benar ingin berhijrah dari segi menutup aurat saya. Kadang-kala berasa malu dengan diri sendiri. Murahnya maruah saya untuk dipertontonkan kepada para lelaki. Kemudian, muncul perasaan ingin melabuhkan hijab saya. Aurat perempuan dengan lelaki ialah seluruh anggota badan kecuali muka dan tapak tangan. Sudah semestinya hijab perlu melepasi dada. Saya keliru antara agama dan nafsu. Hati jahil ini pernah terdetik :”kalau aku pakai labuh-labuh nanti nampak macam orang tua jer. Pakai jeans baru la up-to-date sikit”. Astaghfirullahalazim. Seorang Islam tidak sepatutnya ada fikiran yang sebegitu.
Apabila melihat rakan-rakan seperjuangan ini bertudung labuh, selalu melangkah ke masjid untuk solat berjemaah, hati mula tersentuh. Mengagumi dengan sikap mereka yang langsung tidak menghiraukan duniawi. Mereka seolah-olah tidak kisah tentang fashion terkini. Saya tidak bermaksud mereka ini kolot tetapi hati mereka seolah-olah dapat mengawal nafsu mereka daripada mengotori agama mereka. Melihat kepada golongan ini hati rasa tenang dan terasa ingin bersahabat dengan mereka tetapi persoalan layak ke bersahabat dengan orang seperti mereka menjadi tanda tanya.
Satu malam saya muhasabah diri sebelum tidur. Apa amalan yang telah saya buat sebagai bekalan untuk hari esok? Dimana saya akan dicampakkan di alam sana? Hampir menitis air mata apabila berfikir tentang itu. Saya text seorang senior saya (Kak Hani). Bagi saya dia seorang yang solehah dan amat menjaga auratnya dan batas pergaulannya. Saya meluahkan isi hati saya kepadanya. Saya katakan kepadanya bahawa saya ingin berhijrah. Persoalan yang timbul ialah : jika saya sudah mula pakai tudung labuh, perlu ke saya meninggalkan kawan-kawan lelaki saya? Perlu ke saya meninggalkan boyfriend saya? Rasanya tidak bersedia untuk itu lagi. Kak Hani membalas dengan jawapan yang sangat ringkas tapi padat. “Fathin, bila kita sudah mula terdetik di hati untuk kita berubah ke jalan Allah, insyaallah Allah akan menjaga kita dari segala kelalaian asalkan kita istiqamah dalam setiap ibadah yang kita lakukan.” Cukup bermakna jawapan Kak Hani.
Esoknya saya nekad untuk beli tudung labuh. Semasa dalam perjalanan ke kedai untuk cari tdung itu, hati terasa berdebar-debar. Hati terdetik adakah betul apa yang saya buat ni? Saya minta pendapat kawan saya, Zana. Dia hanya mengangguk tanda menyokong apa yang saya buat. Bila dah sampai di kedai itu, tangan terketar-ketar bila memegang tudung itu. Tanpa fikir panjang saya terus membeli tudung itu. Keesokkan harinya saya sudah mula memakai tudung itu. Kawan-kawan yang terserempak dengan saya pelik dengan perubahan itu. Saya tak kisah apa yang mereka cakap. Unfortunately, apa yang saya jangkakan benar-benar berlaku. Saya memakai hijab labuh itu hanya untuk sementara. Kejadian ini terjadi apabila saya pulang ke rumah dengan memakai tudung itu. Apabila balik ke kolej balik saya memakai selendang tapi dilabuhkan selendang itu melepasi paras dada. Bila dah sampai dekat kolej barulah perasan tudung labuh saya hilang. Puas saya cari. Then saya call mak saya , bertanyakan tentang tudung itu tapi mak cakap tak nampak pulak tudung tu kat rumah. Mulai dari hari itu saya start pakai selendang. Makin lama makin singkat selendang tu. Dah jauh rasanya dari matlamat saya untuk berubah. Mungkin Allah ingin menguji saya pada ketika itu. Dan saya tunduk kepada nafsu saya. Saya kembali kepada diri saya yang asal. Yang jauh terpesong dari ajaran Islam.
Suara-suara sumbang ada yang mengutuk diri saya. Sampaikan ada yang cakap saya seorang munafik. Saya tidak kisah dengan pandangan orang. Allah sahaja yang tahu apa yang berada dalam fikiran saya. Munafik atau tidak seseorang itu bukan terletak pada orang lain. Orang lain tidak berhak menghukum sesama manusia.
Ya Allah, bukakanlah pintu hatiku untuk terus ke jalan Mu. Jadikanlah aku seorang yang ikhlas dan istiqamah dalam setiap ibadah yang aku kerjakan selama ini. Insyaallah saya akan cuba mengubah diri ini secara perlahan sama ada dari segi pergaulan, percakapan dan dari segi aurat supaya menjadi muslimah yang solehah. Saya mengharapkan ada seseorang yang dapat mengubah diri saya untuk terus berjuang menundukkan nafsu ini. Insyaallah…